Iklan

Khamis, 4 Julai 2013

Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki 172/13 Dan Wanita 34/13 29 June 2013




01 January 2013 tarikh permulaan beliau mendaftarkan diri di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Negeri Sembilan. Kini 29 June 2013 berjaya menamatkan penat lelah sepanjang mengikuti latihan dan persiapan diri untuk dilepaskan menempuh onak duri perjalanan kerjaya mencabar di luar.

Bersama Nenda Tercinta

Beliau merupakan anak saudara merangkap cucu sulung, demi mewarisi darah komando bapanya yang mengalir dalam diri disemat dari kecil untuk menjadi perwira.Berakhirnya SPM, segala peluang sambung pelajaran ke peringkat Diploma ditolak tepi seketika demi lunaskan cita-cita yang sudah termetri dalam sanubari sejak awal lagi. Biarpun kini berjaya genggam dalam jiwa segala impian, harapan Pakcik moga Epy kenang balik, segala penat lelah berjuang ketika SPM dulu untuk meraih keputusan cemerlang dapat diadaptasi pada laluan yang benar. Sambung balik pelajaran yang tertinggal di belakang demi jaminan hidup yang lebih sempurna. Ubah segala persepsi masyarakat biarpun bermula dari pangkat bawah dengan ilmu yang kita ada, pencapaian akademik yang terbaik. Insya-Allah boleh lebih maju ke hadapan.

Hati yang cekal, semangat yang membara dan segala motivasi diperolehi sepanjang tempoh latihan dapat dipraktikan untuk bina hidup dan kerjaya yang lebih padu. Siapa kita masa hadapan adalah bertitik mula pada langkah yang kita atur pada masa sekarang. Jangan takut untuk paling ke belakang perbetulkan kesilapan yang pernah kita tinggalkan di belakang kerana hanya kita yang layak untuk menentukan nasib dan selebihnya takdir dariNYA.

Harapan keluarga amat besar agar dapat menjadi contoh dan teladan yang terbaik untuk adik dan sepupu yang masih kecih di bawah. Biar apa bidang yang kita ceburi dan kita lalui tidak terlalu rumit andai tahu bagaimana hendak rencanakan di masa-masa akan datang . Kejayaan itu akan datang jika disusuli usaha tidak pernah jemu dan tawakal yang tidak pernah henti.

Sekitar Majlis Berlangsung :

Seawal 6am seramai ibubapa dan keluarga memenuhi ruang legar padang kawad

Panas sang suria diawal kemunculan tidak mematah semangat untuk terus bertahan

1Malaysia berkumpul disini
Ketibaan..

Perbarisan masuk
Perajurit Wanita
Baris.

Lintas Hormat

Penyampaian Anugerah

Setia Mendengar Taklimat

Akui Janji

Bacaan Doa.

Perbarisan Keluar.


Rabu, 26 Jun 2013

Resepsi Pertunangan Skuad



Alhamdulilah
Seorang lagi ahli Squad 12 berjaya langsungkan tunangan pada 22/06/2013 bersamaan Sabtu yang lalu
Semoga beliau tabah mengharungi " dunia" mereka "berdarah manis"
Semoga kekal perhubungan itu sehingga ke gerbang perkahwinan
Semoga penyatuan 2 hati ini berlangsung dalam susana bahagia, harmoni, tenang dan aman damai
Semoga selamat segala-galanya.
Paling penting barakah itu agar jalinan ini mampu tersurat hingga hujung nyawa. Amin
1 pasangan berjaya diijabkabulkan, 3 pasangan kini berstatus hakmilik tunangan orang, maka tinggal 7 lagi yang Insya-Allah akan menyusul kemudian( doa2kanlah)..
Segala pelamin,hiasan mahupun hantaran adalah hasil tangan sendiri beliau.

Pelamin




Hantaran Pihak Perempuan



Sabtu, 27 April 2013

Konvokesyen Ijazah- Outdoor Shoot!




Alhamdulilah setelah bertungkus lumus selama 2 tahun setengah, memberi segala usaha semaksimum mungkin,akhirnya hari yang ditunggukan telah tiba. Terasa segala beban sewaktu bergelar siswa mengalir deras tinggalkan hidup. Tetapi sumpah aku rindui zaman mengusung buku ke sana mari. Dikurnikan segerabak kawan yang membahagiakan hidup, buatkan hari yang dilalui begitu asyik. Yea, hidup mana tidak pernah teruji dan adatlah dalam berkawan, hati mana tidak tersentuh tapi itu mulia dari berkata belakang. Teguran membina padukan lagi kasih kawan yang tercipta. Bohong kalau sentiasa agungkan kebenaran sedangkan hakikat khilafan kuasai diri.

Terima Kasih kepada Mu Ya Allah-beri peluang kali kedua ini! Sedangkan sewaktu dahulu, aku persiakan segenap ruang yang menjengah begitu sahaja. Tapi atas kesedaran yang Engkau titipkan dalam sekalung hati ini bisa kejutkan aku dari lena untuk terus perbetulkan kesilapan lalu. Walaupun orang kata seusia aku kini bukan untuk merangkak gapai segulung ijazah lagi tapi ku pedulikan semua itu kerana aku percaya Percaturan Mu indah Ya-Allah...

Terima Kasih Mak, Keluarga-Yang banyak melayan kerenah aku sepanjang membesar ini, yang tidak pernah terhenti untuk dengar keluh kesah yang aku taburkan setiap kali kita berjumpa, Sayang aku begitu utuh untuk kamu, kini tiba giliran aku untuk membalas budi setelah kian lama kalian sentiaka berada dibelakang memberi sokongan...

Terima Kasih Squad- Syuk, Mizan, Liana, Mekti, Cikla, Lee, Mujir, Safwan,Pidah, Ain, Rashid, yang banyak berjasa dalam pembetukan hidup aku selama kita bersama. Aku tidak mampu untuk membalasnya tapi aku sentiasa doakan kalian berada dalam lingkungan orang-orang yang berjaya dunia akhirat.Moga galur persahabatan kita tidak terhenti disini tapi terusan hingga nafas yang terakhir. Amin

Terima Kasih kepada semua yang mengenali aku, yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam sejarah yang terbuku dalam situasi yang begini. Jasa kamu akan ku kenang...

-Sekian-

Sekitar Kampus UiTM Shah Alam :


 














Sabtu, 20 April 2013

Chocolate Moist Cake


Entry kali ini , sekadar untuk tolong kawan serumah sewa promosikan hasil tangan beliau..

Terhasil daripada air tangan seorang lelaki..

Aktiviti dikala waktu terluang dihujung minggu pada mulanya kini menjadi satu rutin untuk menyiapkan tempahan samada untuk majlis kahwin, hari jadi atau apa sahaja yang melibatkan makanan..



Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, bolehlah hubungi beliau

Aril : 0122769797

p/s : untuk dapatkan harga yang lebih murah nyatakan anda kawan saya semasa membuat tempahan

Segala kesedapan dijamin anda akan berpuas hati di penghujung rasa

Tiada kompromi bila melibatkan rasa..


Disertakan secara rambang gambar proses penghasilan cake ini :








Sabtu, 6 April 2013

Ribaibaru-Mayumi Itsuwa



Bila kawan sebelah bilik pasang lagu ini, aku terkesima! segera memaksa otak untuk rencah ingatan supaya kembali mengejar memori lampau. Hakikat bila berulang kali dengar dan hayati lagu ini, membawa aku jauh larut dalam igauan. Ketika zaman bersekolah rendah di Melaka, ada sesi pertukaran pelajar Malaysia-Jepun. Bila hari terakhir pelajar Jepun di sekolah kami, mereka persembahkan lagu ini. Walaupun tidak difahami lirik kata tapi dari segi penyampaian dan muziknya berjaya menyebakan aku tertarik. Dan setiap kali terdengar dalam radio, pasti aku pasang impian untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Jepun. Aku tidak pasti kenapa begitu tertarik dan hubungkait lagu ini dengan kejar cita-cita untuk belajar di  Jepun. Mungkin sebab ingin merasakan sendiri suasana. Tapi bila dah seusia kini, semuanya impian indah ketika kecil laju menujah minda membuat aku tersenyum bila fikirkan kembali. Mungkin untuk usia akan datang, siapa tahu impian kecil dahulu mampu lumatkan jadi realiti. Insya-Allah....

Terjemahan lagu Ribaibaru dalam Bahasa Malaysia.



Kebangkitan Kembali-
Di dalam gerimis hujan ini aku mempercepatkan langkah
Seperti panahan kilat di waktu pansa
Dan begitulah cepatnya kehilangan cinta dua orang kekasih
Ah..Beginilah hatiku membakar
Dan kini menjadi warna debu revival
Ah..Hanya terbayang kisah dahulu
Jikalau hanya kenalan sahaja bolehlah dilupai
Saat terakhir hanya bergelingan air mata
Barulah sedar betapa dalamnya cinta itu
Ah..Terkenangkan dia yang betapa baik hati
Tetapi sekarang menjadi biru gelap revival
Ah..Hanya terbayang kisah dahulu
Esok mungkin berulang kembali...



Ahad, 31 Mac 2013

7 Bulan

Alhamdulilah, sekelip mata masa berlalu pantas tinggalkan aku disini. Usai 7 bulan berkerjaya. Segenap kekuatan dapat dikumpul pada landasan yang benar. Perubahan pada diri pintas segala kekurangan yang dibendung.

Jika 3 bulan pertama, aku bergelut dengan perasaan, menghimpit penyelasan pada keputusan yang terzahir. Jutaan pertanyaan menyerang segenap ruang. Bertalu arus aku digasak oleh kecewa. Bagaimana aku cepat jatuhkan keputusan sedangkan ini bukan kemahuan yang aku izinkan. Cita-cita tercicir dibelakang, sedangkan kemahuan dianjak kedepan.

Beri iktibar pada diri, tidak salah untuk terus mencuba walaupun bukan kemahuan itu yang dipinta. Belajar dari segala kekurangan menjadikan aku terus bertahan sehingga hari ini. Terlalu kejam perubahan memamah ketahanan yang ku pikul selama ini. Paling ketara " KEMATANGAN". Aku akui, kini sedang berkejaran dengan proses dari pra kematangan menjadi lebih 5 kali matang dari usia sebenar. Perit untuk ditelan, pejal untuk diadaptasi, tetapi itu satu proses yang aku wajar bersyukur. Diberi Tuhan untuk terus berubah menjadi "SESEORANG". Bukan SESEORANG untuk dipuja, untuk dijulang ke langit ke-7 malah tidak sesama sekali untuk dibiarkan tenggelam dengan lautan pujian. BUKAN!!

Definisi itu mudah, kerana aku perlu menjadi MATANG , tidak lagi dipandang enteng oleh sesiapa. MATANG bukan bererti aku perlu luputkan segala sikap tapi ubah menjadi lebih terurus pada hemat mata yang menghakimi. Hidup kini lebih perlu tahu apa yang perlu dan apa yang tidak. Agar aku mudah menjadi SESEORANG, tidak lagi terhimpit antara benar dan salah .MERAPU

Aku tidak pasti apa akan berlaku untuk kisah masa akan datang, tapi aku sedang berusaha mengatur setiap gerak geri. Tidak lagi dipandang BODOH setengah manusia. Tidak lagi ekstrem mendukung amanat orang sedangkan itu jauh dari galur keupayaan aku. Belajar untuk berdiri pada paduan kaki sendiri, tujahkan minda untuk lebih bijak beremosi dalam kata-kata, lebihkan keperibadian dari kepincangan perasaan.

Tercampaknya aku dimukim ini memberikan aku sedikit masa untuk pantas berfikir zahirkan apa yang aku perlu lakukan. Bukan lagi bertindak dalam keterburuan yang akhirnya memakan diri.

Lan- hidup hari ini adalah untuk hidup masa akan datang, siapa kita hari ini serba sedikit tercalit untuk siapa akan datang. Berusahalah selagi berdaya, jika diminta untuk keluar dari galur kemampuan, gagahkan  memaju ke arah itu. Peduli apa ada pada benak hasutan orang tapi jangan terlalu obses dengan diri sendiri. Ada wajar perlu juga suntingkan apa yang mereka kata. Majukan pada kedudukan yang benar, nyahkan segala yang salah . Terima Kasih Teman

Sekian..

Sabtu, 16 Februari 2013

GYM& Hidupku!


Sketsa Aku & Bos :

Suatu pagi, suatu ketika..keadaan di pejabat begitu tenang! Masakan tidak, hanya beberapa kerat yang gigih bekerja di saat cuti menghambat masa. Biarkan mereka beraya sakan, itu hak mereka. Kita tibanya raya nanti pasti berkeadaan demikian. Malah mungkin terlebih pengiraan mengambil cuti alasan raya setahun sekali sahaja. Sogokan awal, otak direncah yang boss tidak akan jengah office. Perihal ini awal-awal lagi sudah dihebohkan dalam whats app yang beliau tidak akan hadirkan diri. Aku percaya! Setiba di meja..segera dahulukan kerja yang sengaja ku tinggalkan 5 hari lepas. Mulalah mata terkebil kerah otak berusaha dengan tekun. Mengingati kembali apa permasalahan sehingga aku sendiri buntu. Oh buntu sebab itu alasan selamat untuk aku lepaskan diri tempoh hari. Penghujung jumaat masalah di hadapkan ke hadapan aku. Memang tidaklah aku gigih mencari penyelesaian terbaik. Ku katakan, beri aku masa untuk tungkus lumus selesaikan sebelum hujung jumaat depan. Kejam! Walhal dalam benak sudah terbayang panggilan kampung, masakan mak, kecohan kawan-kawan. Hahaha..Itu wajib!

Dalam perhatian cuba selesaikan apa yang tertangguh itu, akhirnya berjumpa juga dengan jawapan! Masalah remeh bila sengaja menyulitkan keadaan memang akan menjadi bersimpang siur. Bila aku beri pandangan, buat begitu jangan hendak begini sangat nanti natijahnya memakan diri sendiri malah mengheret aku terbabit. Degil! Dengusan mereka kuat membantah aku. Katakan aku budak baru, baru grade! Apa yang ada pada aku jika dipandang pada segulung ijazah yang aku perolehi masih segar hijau, belum cukup matang! belum setahun..Susah! Tapi aku biarkan, manusia yang degil ini akan terhantuk baru tergadah makananya..Pengajaran berguna. Tidak perlu membazirkan air liur berikan pendapat, tidak perlu menaikkan darah untuk tegakkan kebenaran. Percaya pada Allah itu memadai, yang kita benar dan pasti kebenaran susuli orang yang niatnya benar! Akhirnya kemuncaknya aku berjaya, mahu menjerit, mahu melompat malah mahu berjoget tapi asakan perasaan malu itu kuat kerna di hadapan meja terduduk setiausaha setia fokus mengetuk papan kekunci beliau terus mematikan perasaan. Hanya mampu tersenyum lebar sampai berdiri! Aku tidak pasti kenapa perlu berdiri, tapi secara langsung aku berbuat begitu. Terpacul terkejut setiausaha melihat aksi spontan aku, malah beliau ketawa terbahak-bahak. Bila terperasaan beliau ketawa, aku terus duduk, dan menghala PC terusan ke muka agar dapat melindungi muka yang merah padam menahan malu.Hahaha

Lupakan itu, bukan itu yang ku cuba kisahkan di sini, banyak kali dah aku terkantoi dengan setiausaha itu! kalau direkodkan banyak gila aksi aku di luar batasan normal terjadi di kala aku berjaya selesaikan masalah. Tapi macho tetap terkawal, apa yang berlaku. Aku buat-buat lupa. Tapi bila sampai rumah atau sepanjang perjalanan dalam kereta, pasti aku ketawa lupa dunia, lupa yang aku sedang memandu dan sedang diperhatikan dengan perasaan janggal oleh pemandu lain. Sambung kerja, tiba-tiba pintu pejabat dikuak sekuatnya, aku tidak menoleh tetapi aku dah terbiasa dengan perangai begitu pasti tidak lain itu adalah beliau, beliau yang selalu aku berasa kecil berada disisinya. Boss! oit tercuit dalam hati mujur bukan di mulut. Berganda aku naikkan kefokusan aku. Itu perlu, aku baru sahaja disahkan taraf jawatan dan perlu untuk aku lagak dedikasi depan beliau kerana aku mahukan kenaikan gaji yang berlipat ganda. Itu perlu, hipokrit itu wajar tapi biarkan dalam hati ikhlas, biar luaran sahaja yang mainkan peranan asalkan tidak pada niat mencari rezeki.

Beliau terus melulu menuju biliknya serta dibuntuti oleh setiausaha dibelakang. Pemandangan begitu tidak lagi asing bagi aku yang terusan menghadap. Aku mula mencari kekuatan, sebelum nama aku di laung dijulang tinggi dari bilik beliau menghala tepat ke telinga aku. Aku diam membatu, laju melaraskan segala perihal fail yang perlu aku kemukakan kepada beliau. Oh perlu kemas, perlu sistematik kalau tidak mahukan carutan dihujung perbualan. Selesaikan berjuta masalah beliau dengan setiausahanya, selang berganti minit. Nama aku dipanggil, tapi aku tidak pasti adakah itu datangnya dari beliau atau suara dari radio setiausaha itu. Oh aku keliru, aku cuba amati dengan perlahan, masih sayu! tiba-tiba beliau datang dari belakang dan terus sergah aku! Aku terkejut lalu terjatuh kerusi .Punya gelabah tidak tertahan-tahan sampai jatuh kerusi. terjelupuk jatuh depan beliau. Beliau tidak ketawa tapi aku yang malu.Hahah..Bangun, betulkan kerusi, betulkan keadaan baju, seluar dan segala macam aku betulkan walaupun tidak perlu sangat untuk lakukan. Dengan gagah, aku kerahkan kaki untuk lajukan juga langkah menuju bilik beliau. Sejurus sampai, setiausaha itu meminta izinkan untuk keluar dan berlalu meninggalkan aku dan beliau.

Babak Perbualan...

Boss: Sihat?
Aku : Saya sihat.
Boss: Tadi kenapa saya panggil kamu, tidak ada sahutan? terus senyap..Kamu berangan ke?
Aku : Tidak, saya keliru sahaja.
Boss: Apa yang kamu kelirukan? saya pangil nama kamu..siapa lagi dalam office ini yang sama nama dgn
         kamu?
Aku : Saya fokus buat kerja, itu yang tetiba keliru (alasan tidak ada sangkut paut)!!
Boss: Ok, baiklah..lain kali tolong jangan keliru lagi.Macam mana meeting dengan orang pejabat tanah?
Aku : Segalanya baik, saya dah usulkan segala maklumat yang mereka perlukan dan mereka berikan
        segala maklum balas yang postif. Saya ada juga bertanya perihal yang kurang mengenai fail kita.
Boss: Lalu? ada yang tidak lengkap atau perkara yang menghalang dari projek yang kita submit untuk
        diproses?
Aku : Ada, tapi saya telah sediakan segala perihal terbabit, saya akan bawakan dalam meeting akan datang.
Boss: Bagus! Saya mahukan projek ini berjalan dengan lancar dan ini dibawah seliaan kamu. Saya serahkan
         segalanya kepada kamu.
Aku :Baiklah...Ada apa-apa lagi boss?
Boss: Oh pasal kerja tiada. tapi pasal peribadi kamu, ada..
Aku ; Peribadi? maksud boss?
Boss: Yea, penampilan kamu..Saya tengok badan kamu semakin laju naik. Perut tu terutamanya.Sayanglah
         muda lagi tapi badan seperti orang tua, bujang pula tu. Kalau dah kahwin saya tidak kisah. Memang
         tidak dapat lari dari begitu. Mahu tidak, kalau isteri masak kamu kena makan juga biarpun tidak
         sedap kena jugak telan, takut nanti merajuk
Aku : Tahan gelak! ooooooo,
Boss: Saya nak kamu pergi gym, pergi workout , bagi badan nampak sasa..ada 6pax. Baru client tengok
         ada rasa kepercayaan dan selesa untuk bekerjasama dengan kamu
Aku: Dalam hati- aik perluke 6pax bagai??sampai badan sasa??...HahHA..apa dia ingat aku jumpa client
        sampai kena tanggalkan seluar? tanggalkan baju bagai? ingat aku nak buat catwalk ape dpn client,
        tak pun nak menari tiang bagai...Hahaha



Boss: Lan?? tengok berangan lagi..Apa yang kamu fikirkan?
Aku : Eh saya tak berangan, baiklah saya akan cuba cari masa untuk ke gym, saya cuba untuk turunkan
         berat badan..saya cuba..Ada apa2 lagi boss?
Boss: Tiada..kamu boleh sambung kerja kamu
Aku : Baiklah..Berlalu tinggalkan beliau

Sampai meja, fokus terus hilang sebaliknya fikirkan pasal gym. Alahai aku bukan suka tempat yang begitu. Sesak dengan macam-macam peralatan, berhadapan dengan orang-orang yang aku rasa sangat pelik. Berpeluh sakan dalam bilik. Lainlah kalau jogging dekat tasik.Itu best, aku sanggup! Satu hal pula aku nak pergi daftar, cari gym.Terpaksalah..Huhuhu.. Kita tengoklah keputusannya nanti, adakah aku berani sahut cabaran beliau dan buktikan aku mampu...Hehe..Aku bersikap positif dengan apa yang beliau maksudkan, mungkin beliau mahu aku sihat dan cergas kerana kerjaya akau melibatkan orang ramai dan perlu penampilan yang menarik untuk menarik minat client berurusan..


Jumaat, 11 Januari 2013

Aunty Aini's Garden Cafe..


Pintu Utama sedia menanti kedatangan anda..

 "Oh Santai"- terdetik kata terbit dalam hati tatkala kaki laju melangkah masuk cafe ini
Diliputi rimbunan pelbagai pokok berkeliaran disekitar menggamit kedamaian yang dicari
Jauh lari dari hiruk pikuk kotaraya begitu membangkitkan nafsu untuk rasai kemewahan sajian yang dijanjikan. Untuk rasai sendiri kenikmatan makanan dan suasana sebegini boleh berkunjung:

Aunty Aini's Garden Cafe
Batu 16, Jalan Sepang
Kampung Chelet
71800 Nilai
06-7991276

Waktu Perniagaan:
Isnin/Monday- Khamis/Thursday : 11:30am- 3.00pm, 5.30pm- 11.30pm
Jumaat/Friday- Sabtu/Saturday : 11:30am-3.00pm, 5.30pm-12.30pm
                                Tutup pada hari Ahad/ Close on Sunday                                           



Suasana sekitar cafe :

 Meja pilihan kami jauh dari lingkaran utama cafe kerana mahukan privacy sendiri




Ruang untuk bersila-seolah makan dirumah sendiri cuma sekeliling terbuka


Kaunter bayaran

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...